Friday 26 March 2010

SEBUAH PENYESALAN UNTUK HARI INI

Sebuah penyesalan untuk hari ini
28/10/09 3:44 p.m.
Di bibir jendela ini, permandangan indah aku lewati. Melihat kau dan dia di kejauhan ini. Kau seringkali lupa tentang siapa dia dihatimu. Dulu, kau sentiasa bersamanya, berkongsi segalanya tentang cerita hidupmu, hari-harimu hingga tiada kata rahsia lagi untuk kau dan dia. Dia, sering berbagi segalanya bersama kamu, tanpa kenal dan melihat sebenarnya ada batas di situ. Dia telah butakan matanya untuk itu demimu. Dan kehidupan berjalan, berputar. Takdir membina jarak antara kau dan dia. Bermula segalanya untuk diduga, dimana persoalan mulai memainkan peranannya dalam hari-hari yang kau lewat juga hari-hari dia. Berlalunya masa seakan-seakan menyamai berlalunya keakraban dan kemesraan antara kau dan dia. Jarak itu menjadi nyata. Ya, ia menjadi nyata hingga kini. Benarkah katanya bahawa keadaan ini mencemburui kau untuk bersama dia? Atau kau sendiri buta, buta hati untuk memahami. Mengapa kau masih tak memahami bahawa dia pergi kerana keberadaannya tidak lagi dihargai. Kau lupa, sebernanya dia juga punya perasaan. Mengapa tidak kau jadi seperti dulu, seperti saat kau dan dia melalui hari bersama, saat ‘together’ itu sering kau tuturkan? Kini, kau tak mampu lagi menjawab apa yang aku persoalkan padamu. Kau hanya bisu saat aku bertanya, dimana dia. Saat rembesan air mata yang tak terduga olehku jatuh di pipimu, kekesalan datang dihatiku kerana persoalkan hal itu padamu. Namun, penyesalan yang kau rasai lebih perih dari kekesalan yang aku rasai. Aku sedar, aku harus bertanggungjawab. Bertanggungjawab atas kesedihan yang kau alami. Aku duduk di depanmu, hanya diam. Aku mahu saat itu hanya terdengar sedu tangismu. Aku ingin kau luahkan segala yang kau pendam mungkin untuk sekian lama. Aku hulurkan saputangan, untuk kau keringkan basahnya pipimu dengan airmata. Aku tahu, saputangan itu hanya mampu mengeringkan airmatamu namun titisan kehancuran hatimu tak mampu dikeringkan oleh saputangan itu. Kau, tanpa ragu terus memelukku, erat. Mungkin disitu, kau temui ketenangan buat hatimu yang resah untuk sekian lama. Kau bicara padaku. Bicara tentang kekesalan dalam melewati hari-harimu, kau berlaku angkuh dengannya. Kau biarkan panggilannya mati tanpa bicara, kau biarkan titipan sms nya bisu tanpa jawapan sedangkan dia haus dengan khabarmu. Kau melayani angkuhmu, kau bina alasan untuk kau menjauhi nya. Kau lupa tentang segala yang pernah kau jalani bersamanya dan janji-janji persahabatan yang kau janji bersamanya. Pernahkah kau ingin tahu tentang dia yang kau tinggalkan tanpa ucapan selamat tinggal? Pernahkah kau berbagi masamu untuk kau memikirkan tentang dia? Tentang sahabatmu yang kau tinggalkan itu? Tidak! Hari ini, aku temui kau, dan kau temui kekesalan. Aku pandang tepat pada matamu, dan aku bicara padamu. “Wahai engkau yang telah menyesal dihadapan aku hari ini, janganlah kau hanya menangisi apa yang terjadi. Lakukan sesuatu, perbetulkan keadaan yang kau kesali itu. Masih belum terlambat untuk segalanya. Kalau benar kau dan dia adalah sahabat selamanya seperti janji-janji persahabatan yang telah kau coretkan pada kepingan kertas sebuah buku yang pernah kau hadiahi buatnya, pergilah temuinya untuk kata maaf. Katakan padanya bahawa dia akan sentiasa menjadi sahabat baikmu selamanya. Ya, selamanya.”

No comments:

Post a Comment